abl.jpg (930 bytes)

Majlis Akad Nikah


 

Laman Utama

Keibubapaan

Kaunseling

Aktiviti

Diskusi

E-Kad

Tips

Prosedur Perkahwinan

Prosedur perkahwinan adalah himpunan peraturan yang perlu dipatuhi oleh mereka yang ingin brkahwin. Lazimnya peraturan ini dilaksanakan bagi mengatur kehidupan manusia agar lebih sistematik serta menjaga kemaslahatan masyarakat.

Perkahwinan Dalam Qariah
Perkahwinan Luar Qariah
Perkahwinan Luar Negeri
Perkahwinan Dengan Warga Asing
Permohonan Poligami
Perkahwinan Bawah Umur
Wali
Prosedur Perletakan Wali
Kursus Perkahwinan

Perkahwinan Dalam Qariah

Perkahwinan yang dilakukan di tempat atau kawasan di mana individu bermastautin. Terdapat 2 jenis  perkahwinan dalam Qariah: 

i. Permohonan berkahwin yang dibuat di mana pemohon lelaki dan pemohon perempuan bermastautin di tempat yang ingin dijalankan upacara pernikahan.

( Langkah – Borang permohonan lelaki dan perempuan disatukan dan dihantar ke pejabat pendaftaran. Kepilkan bersamanya wang pembayaran sebanyak RM5 dan dalam masa tiga hari surat kebenaran Nikah akan dikeluarkan) 

ii. Permohonan berkahwin dibuat, di mana salah seorang dari pasanganmenetap di sesebuah kawasan dan mereka ingin menikah di kawasan tersebut. 

( Langkah – Pemohon dikehendaki menunggu surat kebenaran berkahwin dari negeri asal pasangan masing-masing sebelum melaksanakan upacara akad nikah. Surat kebenaran tersebut mestilah diperolehi dalam masa tiga puluh hari)

Perkahwinan Luar Qariah

Perkahwinan dilakukan diluar dari Qariah tempat individu bermastautin. Terdapat dua jenis  perkahwinan luar Qariah: 

  • Pemohon lelaki dan perempuan membuat permohonan untuk berkahwin di luar kawasan tempat mereka bermastautin 
  • Salah seorang pasangan bermastautin di sesuatu kawasan tetapi ingin

Kedua-dua jenis permohonan ini mestilah menghantar borang yang dilengkapkan dengan mengepilkan sebanyak RM5 setiap seorang. Permohonan pasangan akan diproses secara berasingan. Ini bermakna dua surat kebenaran akan dikeluarkan kepada bakal isteri dan suami. Surat kebenaran ini hanya
sah digunakan dalam masa tiga puluh hari, dan ia biasanya akan dikeluarkandalam masa tiga hari daripada tarikh permohonan itu dibuat. Surat ini kemudiannya hendaklah dibawa ke hadapan kadi atau penolong Pendaftar kahwin di negeri pasangan terbabit hendak berkahwin. 

Perkahwinan Luar Negeri

Perkahwinan yang berlangsung di luar negara. Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 memperuntukan bahawa akad boleh dilakukan oleh Pendaftar yang dilantik dibawah seksyen 28 (3) di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi atau Pejabat Konsul Malaysia di mana-mana negara. Sebelum mengakad nikah sesuatu perkahwinan, Pendaftar hendaklah berpuas hati dengan perkara berikut: 

i.  Mengenalpasti tempat pemastautin kedua-dua pasangan 

ii. Pasangan mempunyai keupayaan untuk berkahwin mengikut Hukum Syarak dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam 

iii. Jika salah satu pihak  bukan pemastautin di kawasan yang sama,   akad nikah akan dikira sebagai sah di mana pihak itu bermastautin 

iv. Acara akad nikah mestilah sama seperti yang dipakai bagi negeri pasangan bermastautin 

v. Seseorang yang telah berkahwin di luar negara hendaklah dalam masa enam bulan selepas tarikh perkahwinan hadir di hadapan
Pendaftar Perkahwinan, Cerai dan Rujuk yang berhampiran di luar negara untuk mendaftarkan perkahwinan itu. Tetapi jika dijangka kedua-dua pasangan akan kembali ke tempat bermastautin sebelum didaftarkan, maka pendaftaran perkahwinan hendaklah
dibuat di negeri mereka bermastautin dengan membawa bersama-sama: 

  • Surat perakuan nikah atau apa-apa keterangan sama ada lisan atau dokumen yang boleh memuaskan hati pendaftar bahawa perkahwinan itu telah berlaku 
  • Memberi apa-apa butir sebagaimana yang dikehendaki oleh pendaftar 

    Memohon dalam borang yang ditetapkan supaya perkahwinan didaftarkan. 

Perkahwinan Dengan  Warga Asing

Bagi warga asing yang ingin berkahwin dengan warga negara Malaysia hendaklah membuat permohonan di Bahagian Pendaftaran Nikah Kahwin dan Rujuk di Jabatan Agama negeri berkenaan dengan membawa: 

  • Kad pengenalan ATAU Pasport 
  • Surat Kebenaran Berkahwin dari Kedutaan 
  • Surat Wakil Wali (bagi perempuan) 
  • Surat Sumpah mengenai status diri 
  • Dua orang saksi lelaki 
  • Mengisi borang setelah Pendaftar berpuas hati 
  • Warga perempuan asing perlu membuat permohonan mendapatkanWali Hakim dengan kebenaran Mahkamah Syariah 

INGATAN: Pendatang ekonomi seperti dari Bangladesh, Indonesia, Filipina dan lain-lain tidak dibenarkan berkahwin dengan warga negara Malaysia. 

Permohonan Poligami

Islam membenarkan penganutnya berpoligami
dengan syarat ia dapat berlaku ADIL.
Seseorang yang ingin berpoligami dikehendaki
mematuhi beberapa prosedur sebelum mereka
diluluskan. Pemohon hendaklah mendapat 
kebenaran bertulis daripada Hakim
Mahkamah Syariah. Sebelum mendapat 
kebenaran ia perlu meyakinkan mahkamah
bahawa perkahwinan tersebut: 

i.   Patut dan perlu baginya disebabkan
     kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak
     dari jasmani untuk bersetubuh dan gila dari 
     pihak isteri 

ii.  Pemohon berkemampuan menanggung
      isteri dan anak-anak yang ada dan isteri yang
      baru bersama anak-anak yang bakal lahir 

iii. Pemohon berupaya memberikan layanan
      yang sama rata 

iv. Tidak akan menyebabkan berlakunya darar
      yang syarie pada isteri yang sedia ada 

v. Tidak akan merendahkan taraf kehidupan
    isteri tua dan muda 

Sekiranya pemohon berjaya meyakinkan
mahkamah danmahkamah mengeluarkan
kebenaran bertulis membenarkan 
pemohon berkahwin satu lagi, langkah
seterusnya yang perlu 
diambil  oleh pemohon adalah mengikut
seperti prosedur biasa iaitu 
mendapatkan borang dari Jabatan Agama
Islam (Daerah/Negeri). 

Sekiranya pihak isteri tidak bersetuju, dia
boleh membuat rayuan ulang bicara terhadap
keputusan mahkamah. 

Perkahwinan Bawah Umur

Tahap umur yang dibenarkan berkahwian bagi lelaki ialah 18 tahun manakala perempuan 16 tahun. Bagi individu yang  tidak cukup umur untuk berkahwin, mereka dikehendaki membuat permohonan kepada mahkamah wilayah berkenaan.

i. Penjaga pemohon perlu berjumpa dengan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama dengan membawa bersamanya:
a. Kad pengenalan
b. Wali yang sah mengikut susunan wali (bagi perempuan)
c. 2 orang saksi lelaki
ii. Pendaftar akan membuat siasatan dan laporan
iii. Kemudian pemohon perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada pihak mahkamah 
iv. Proses permohonan seterusnya adalah seperti prosedur biasa perkahwinan.

Wali.
Wali adalah ahli keluarga terdekat bakal pengantin perempuan di sebelah bapa bermula dari yang terdekat hinggalah kepada yang jauh hubungannya dengan pengantin perempuan, berdasarkan kepada tertib wali yang digariskan oleh syarak. 

Tertib Wali Nasab 

i.   Bapa 
ii.  Datuk sebelah bapa 
iii. Saudara lelaki seibu sebapa 
iv.  Anak saudara lelaki seibu sebapa 
v.   Saudara lelaki sebapa 
vi.  Bapa saudara seibu sebapa 
vii. Bapa saudara sebapa 
viii.Sepupu seibu sebapa 
ix.   Sepupu sebapa 

Walau bagaimanapun dalam beberapa keadaan boleh berlaku perpindahan wali nikah daripada ‘wali Aqrab’ kepada ‘wali Ab’ad sekiranya: 

i.   Wali terdekat belum baligh (cukup umur) 
ii.  Wali terdekat gila 
iii. Wali terdekat fasiq 
iv.  Wali terdekat cedera akal fikiran 
v.   Wali terdekat berlainan agama 
vi.  Wali terdekat telah mati 

Wali Raja atau Wali Hakim boleh digunakan sekiranya: 
 

i. Tiada wali nasab 

ii. Wali nasab jauh lebih daripada dua marhalah (56 batu atau 93km atau lebih) 

iii. Kehilangan wali dekat dengan tidak diketahui di mana dia berada dan tidak diketahui sama ada dia masih hidup atau mati. Ini mungkin berlaku selepas wali itu hilang dalam masa yang lama seperti menyertai peperangan atau terlibat dalam kemalangan laut atau udara atau ditahan oleh pihak musuh dan belum diputuskan peanggapan mati 

iv. Wali nasab enggan dan telah disabitkan oleh kadi 

v. Wali terdekat sendiri yang akan berkahwin dengan perempuan yang di bawah perwaliannya

Prosedur Perletakan wali

Terdapat 4 jenis permohonan berdasarkan keadaan wali: 

i.Wali berada di dalam daerah
Mengikut prosedur biasa, borang permohonan ditandatangani oleh wali dihadapan Penolong Pendaftar Nikah bagi memastikan hubungan yang sah antara pemohon perempuan dengan wali serta status perkahwinan pemohon 

ii.Wali berada di luar daerah
Borang yang diisi hendaklah diposkan kepada wali untuk dilengkapkan dihadapan Pendaftar Nikah di kariah tempat wali tinggal atau pemohon boleh membawa wali berjumpa Penolong Pendaftar kariah di tempat tinggalnya. 

iii. Tidak ada wali
Untuk saudara baru atau wali ghaib, permohonan perkahwinan hendaklah dibuat terus kepada Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk dengan menggunakan Wali Hakim. 

iv. Wali ada tetapi enggan
Pemohon boleh membuat aduan kepada pihak Jabatan Agama Islam. JAI akan membawa masalah ini kepad unit kaunseling untuk mengenalpasti masalah. Sekiranya buntu kes ini akan dipertimbangkan untuk menentukan Wali Hakim diterima dan keputusan akan ditentukan oleh pihak mahkamah. 

Kursus Perkahwinan

Ia mula diperkenalkan oleh JAWI pada akhir tahun 1980an. Pada mulanya ia tidak diwajibkan, tetapi memandangkan kepada banyaknya masalah yang ditimbulkan oleh pasangan suami isteri akibat tiada pengetahuan agama khasnya yang berkaitan dengan ilmu kekeluargaan Islam maka kursus ini telah diwajibkan bagi semua pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga. 

Pengecualian dari menghadiri kursus diberikan kepada pemohon yang telah menghadiri temuduga yang diselia oleh pegawai agama. Temuduga yang biasanya berjalan selama 20 minit akan melibatkan persoalan tentang aspek asas-asas fardhu ain. 

Kursus perkahwinan biasanya melibatkan pasangan yang baru pertama kali berkahwin, tetapi sekiranya bagi mereka yang telah berkahwin dan berhasrat untuk berpoligami atau berkahwin semula (duda/janda) pihak Jabatan Agama tidak menghalang mereka untuk menghadiri kursus. Manakala bagi lulusan universiti terutamanya graduan Pengajian Islam, mereka turut tidak dikecualikan daripada mengikuti kursus rumahtangga. 

Kursus selama dua hari ini biasanya mengandungi lapan slot ceramah yang berkisar tentang: 

i.    Aspek Aqidah 
ii.   Aspek Ibadah 
iii. Teknik Komunikasi 
iv.  Prosedur Perkahwinan 
v.   Kesihatan 
vi.  Hubungan Keluarga 
vii.  Pengurusan Keluarga 
viii. Menangani Konflik Keluarga 

Diakhir kursus ini semua peserta akan diberi sijil pengesahan untuk membolehkannya meneruskan permohonan untuk melangsungkan perkahwinan. 

 

 

abd.jpg (940 bytes)