Oleh : Ghafani
bin Awang Teh
Hak-Hak Isteri Selepas Bercerai
i. Tuntuan Mutaah
ii. Tuntutan Nafkah Eddah
iii. Tuntutan Hadhanah (Hak Jagaan Anak)
Anak Antara Bapa Dan Ibu
Bercerai Bersama Anak
Anak Diluar Nikah
iv. Tuntuan Nafkah Anak
v. Tuntutan Harta Sepencarian
vi. Tunggakan Hutang
Prosedur Membuat Tuntutan Hutang
Kesimpulan
Pendahuluan
Mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami, Allah swt telah menyatakan :
"Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut
kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan mereka. Dan jika
mereka (isteri-isteri yang sudah ditalak) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka
nafkahnya hingga mereka bersalin, kemudian jika mereka menyusu (anak-anak)mu untukmu maka
berikanlah kepada mereka upahnya dan musyawarahkanlah antara kamu (segala sesuatu) dengan
baik dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu)
untuknya".
( Surah at-Talak : 6 )
Demikian Allah memberi panduan mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami. Ini
bermakna tanggungjawab suami memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak bukan sahaja
semasa hidup bersama tetapi juga selepas bercerai dengan isteri.
Hak-Hak Isteri Selepas Bercerai
Seseorang wanita yang diceraikan oleh suaminya boleh membuat beberapa tuntutan atas
bekas suaminya di Mahkamah Syariah. Tuntutan-tuntutan itu ialah :
i. Tuntuan Mutaah
Mutaah ialah sejumlah harta di mana suami wajib memberi kepada bekas isterinya yang
pernah disetubuhi jika perceraian itu bukan berpunca dari isteri dan bukan kematian suami.
Dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat mengenai Mutaah:
" Kepada wanita-wanita yang diceraikan (hendaklah diberikan oleh suaminya) Mutaah
menurut yang ma'aruf sebagai suatu kewajiban bagi orang-orang yang bertaqwa".
(Surah Al-Baqarah : 241)
Dalam ayat yang lain pula Allah swt menyatakan:
"Tidaklah kamu bersalah jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu
bercampur dengan mereka atau sebelum kamu menetapkan mas kahwin untuk mereka. Walaupun
demikian, hendaklah kamu memberi Mutaah (pemberian saguhati) kepada mereka iaitu suami
yang senang menurut kemampuannya dan suami yang miskin menurut kemampuannya sebagai
pemberian saguhati menurut yang patut lagi menjadi satu kewajiban atas orang-orang yang
mahu berbuat kebajikan".
(Surah Al-Baqarah : 236)
Firman Allah swt :
"Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan
yang beriman kemudian kamu ceraikan mereka sebelum menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak
terhadap mereka mengenai sebarang eddah yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu,
berilah Mutaah (pemberian saguhati) kepada mereka dan lepaskan mereka dengan cara yang
sebaik-baiknya".
(Surah Al-Ahzab : 49)
Mutaah itu boleh sama ada berbentuk pakaian, barang-barang atau wang sesuai dengan
keadaan dan kedudukan suami. Islam tidak menetapkan kadar mengenai Mutaah ini. Dasar
penetapannya bergantung kepada keredhaan dan persetujuan suami isteri. Walau bagaimanapun,
jika kadarnya menjadi pertelingkahan suami isteri, maka Mahkamah Syariah akan memutuskan
kadar yang patut berdasarkan kemampuan suami.
Dalam kes Tengku Anum Zaharah lwn Dato Dr. Hussein (1980, Jld.3 J.H.) Peguam bagi pihak
menuntut (isteri) telah merujuk kepada kes Hasan bin Ali bin Abi Talib yang mana semasa
beliau menjadi khalifah telah menceraikan isterinya dan memberi 10,000 dinar sebagai
Mutaah. Peguam iu berhujah pihak yang kena tuntut (suami) seorang yang berkemampuan. Yang
Arif Kadi Besar selangor (pada masa itu) telah merujuk surah Al-Ahzab ayat 49 dan
memutuskan pihak yang menuntut (isteri) berjaya menuntut Mutaah sebanyak RM25,200
sebagaimana yang dituntutnya.
Apa yang nyata berdasarkan kes ini, walaupun seseorang wanita itu mempunyai pendapatan
yang baik, ia tetap menuntut haknya kerana perceraian itu atas kehendak suami.
Dalam Islam pemberian Mutaah ini bertujuan:
Seseorang isteri lazimnya bergantung hidup kepada suami. Oleh itu apabila ada pemberian
Mutaah ini, maka bekas isteri bolehlah menggunakannya sebagai modal untk berdikari dan
memulakan hidup baru selepas bercerai.
Menghilangkan rasa malu dan prasangka buruk terhadap isteri. Pada kebiasaaannya
terdapat anggapan masyarakat bahawa seseorang wanita yang diceraikan kerana ada sesuatu
aib pada dirinya. Oleh itu pemberian Mutaah itu bermakna perceraian itu bukan berpunca
dari bekas isteri.
Untuk menentukan perceraian itu dibuat secara baik dan sebagai penghargaan suami
terhadap isteri atas sumbangan dan peranan yang diberikan oleh isteri.
ii. Tuntutan Nafkah Eddah
Seseorang isteri yang diceraikan oleh suami selepas disetubuhi, wajib bereddah. Hikmah
bereddah ialah supaya dalam waktu eddah talak rajie ini, suami dan isteri itu berfikir
panjang dan merasa bagaimana pahit getirnya perceraian. Walau bagaimanapun, bagi seseorang
isteri yang diceraikan dalam talak rajie berhak mendapat nafkah dengan syarat:
a. Isteri itu diceraikan secara talak rajie (talak yang boleh dirujuk), dalilnya ialah
Nabi Muhammad saw bersabda,
"Hanya nafkah dan tempat kediaman untuk perempuan yang boleh dirujuk oleh
suaminya".
(Riwayat Ahmad dan An-Nasa'i)
Pendapat ini adalah sepakat mazhab empat.
b. Isteri yang hamil yang ditalak dengan talak bain (tidak boleh dirujuk) berhak juga
mendapat nafkah sehingga anak itu lahir. Ini berdasarkan firman Allah swt:
"Kalau mereka itu hamil, maka berilah nafkah keapda mereka hingga mereka
melahirkan anaknya".
( Surah At-Talaq: 6)
Fuqaha bersepakat dalam perkara ini di mana perempuan itu berhak mendapat nafkah,
pakaian dan tempat tinggal hingga anak itu lahir.
Seseorang isteri yang mengandung sememangnya menghadapi keletihan dan tekanan perasaan
memikirkan tentang kesempurnaan bayi kandungannya. Apabila berlaku perceraian kesannya
akan menambahkan lagi penderitaan di mana kemungkinan besar memberi kesan kepada
kesempurnaan bayi dan menganggu kesihatan si ibu. Oleh itu sebagai langkah untuk
mengurangkan tekanan perasaaan dan menjaga kepentingan anak dalam kandungannya maka Islam
memutuskan bahawa perempuan hamil walaupun diceraikan secara talak bain berhak juga
mendapat nafkah eddah.
c. Perempuan tidak hamil yang diceraikan secara talak bain, tidak berhak mendapat
nafkah, pakaian dan tempat kediaman. Ini adalah pendapat Jumhur Fuqaha dengan alasan
ketika nabi Muhammada saw mengulas mengenai talak tiga ia menyatakan:
"Tidak ada hak untuknya bagi tempat kediaman dan nafkah".
(Riwayat Ahmad dan Muslim)
Walau bagaimanapun, menurut Hanafi perempuan dalam kes ini berhak mendapat nafkah
kerana Allah swt berfirman:
"Berikanlah mereka itu tempat kediaman sebagaimana tempat kediaman kamu dari
kekayaaan kamu".
(Surah At-Talak : 6)
Menurut Hanafi kehendak ayat ini adalah umum sama ada perempuan itu dalam eddah talak
rajie atau talak bain semuanya mendapat nafkah.
d. Isteri yang dalam eddah kerana kematian suami tidak berhak mendapat nafkah eddah
meskipun ia dalam kaeadaan hamil. Mengenai perkara ini Nabi Muhammad saw menjelaskan:
"Tidaklah mendapat nafkah bagi perempuan hamil yang kematian suami".
(Riwayat Darul-Qutni)
Pendapat ini adalah sepakat Fuqaha kerana pada kebiasaaannya seseorang yang diceraikan
kerana kematian suami boleh membeuat tuntutan pusaka ke atas harta peninggalan suami dan
tanggungjawab suami itu dianggap terhapus.
e. Isteri hendaklah taat dan patuh kepada suami iaitu isteri tidak nusyuz. Menurut
kitab Kifayah Al-Akhyar Juz 29 halaman 48 menyatakan:
"Apabila seseorang isteri nusyuz maka gugurlah hak isteri untuk menerima nafkah,
pakaian dan giliran".
Dalam kes Syarifah Sapoyah lwn Wan Alwi (1988 Jld. VI-II J.H.) Yang Arif Kadi Besar
Sarawak Awang Pon bin Awang Sebon ketika memutuskan kes itu berhubung dengan tuntutan
nafkah eddah menyatakan:
"Menurut Hukum Syarak seseorang isteri yang telah diceraikan oleh suaminya berhak
mendapat nafkah eddahnya sekiranya seseorang isteri itu diceraikan dengan talak rajie atau
dengan talak bain sedangkan si isteri mengandung dan isteri tersebut tidak melakukan
perbuatan yang dianggap nusyuz. Dalilnya ialah:
"Dari Fatimah binti Qais bahawa Rasulullah saw menyatakan hanya perempuan yang
berhak mengambil nafkah dan rumah kediaman bekas suaminya apabila suami berhak rujuk
kepadanya".
(Riwayat Ahmad dan An-Nasa'i)
Menurut kitab Al-Fiqhu 'Ala Mazahib Al-Arba'ah Juzuk 4 karangan Abdul Rahman Al-Jazini
menerangkan :
"Isteri yang ditalak rajie wajib mendapat hak nafkah eddah tidak kira sama ada ia
merdeka, hamba, mengandung atau tidak mengandung".
Menurut Kadi Besar Pulau Pinang Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (pada masa itu) ketika
memutuskan kes Noor Bee lwn Ahmad Shanusi (1978 Jld. 1 J.H.) menyatakan:
"Hak nafkah eddah jika tidak dijelaskan semasa edddah maka ia menjadi hutang ke
atas suami yang menceraikan isterinya. Tetapi tempat kediaman jika tidak dituntut semasa
dalam eddah maka hak itu terluput", berdasarkan pandangan kitab Kifayah Al-Akhyar Juz
2 halaman 85 ;
"Jika sebahagian atau keseluruhan masa eddah telah berlalu dan isteri (yang
diceraikan) tidak menuntut hak tempat tinggal maka gugurlah hak itu dan tidak menjadi
hutang ke atas suami yang menceraikan isterinya".
Ini bermakna seseorang isteri yang diceraikan berhak mendiami tempat tinggal dan
mendapatkan nafkah dari bekas suaminya dalam tempoh eddah berdasarkan syarat-syarat di
atas.
iii. Tuntutan Hadhanah (Hak Jagaan Anak)
Hadhanah bermakna pemeliharaan anak lelaki atau perempuan yang masih kecil yang belum
boleh berdikari, menjaga kepentingan anak, melindunginya dari segala yang membahayakan
dirinya, mendidik rohani dan jasmani serta akalnya supaya si anak dapat berkembang dan
dapat mengatasi persoalan hidup yang akan dihadapinya.
Dalam Islam, hukum memelihara anak adalah satu kewajiban ibu bapa kerana si anak
memerlukan asuhan dan kasih sayang ketika dalam proses pertumbuhan hidupnya. Persoalan
yang timbul ialah siapa yang berhak memelihara dan menjaga anak jika ibu bapa
bercerai-berai?
Menurut sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar,
"Bahawasanya seseorang perempuan telah datang menemui Rasulullah saw dan bertanya:
"Ya Rasulullah, bahawa anankku ini, perutkulah kandungannya, susukulah minumannya dan
ribaanku rumahnya tetapi bapanya telah menceraikan aku dan hendak merampas anak itu
daripada aku". Selepas mendengar aduan itu Rasulullah saw bersabda,"Engkaulah
yang lebih berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain".
(Riwayat Abu Daud)
Hadith ini menetapkan bahawa ibu adalah lebih berhak terhadap pemeliharaan anak
daripada ayah. Berdasarkan kepada kiasan hadith tersebut ternyata orang perempuan lebih
diutamakan tentang hak pemeliharaan anak, kemudiannya barulah diikuti oleh orang lelaki.
Islam mengutamakan perempuan dalam hal hadhanah ini kerana ibu lebih sayang kepada
anaknya, lebih tahu bagaimana mendidiknya dan lebih sabar dalam mengasuh anaknya daripada
ayah. Demikian juga mempunyai masa yang luas berdampingan dan bermanja dengan anak-anak
berbanding dengan bapa yang selalu sibuk dengan tugas di luar.
Dalam kes Zawiyah lwn Ruslan (1980 Jld. 1, 2 J.H.) Yang Arif Kadi Besar Pulau Pinang
Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (pada masa itu) ketika memutuskan kes itu menyatakan
anak-anak yang belum mumaiyyiz diserah kepada ibunya berdasarkan hujah kitabKifayah
Al-Akhyar Juz 2 halaman 93:
"Apabila mencerai seseorang lelaki akan isterinya dan ia mempunyai anak dengan
isteri itu maka si isteri berhak memelihara anak itu sehingga anak itu berumur tujuh tahun
(mumaiyyiz)".
Hak hadhanah akan terlucut sekiranya si isteri itu mempunyai salah satu syarat
sepertimana berikut:
"Dan syarat-syarat hadhanah itu tujuh perkara iaitu berakal, merdeka, beragama,
lemah lembut, amanah, tidak bersuami dan bermukim. Sekiranya kurang salah satu syarat itu
maka gugurlah hak hadhanah itu".
Ini bermakna anak-anak yang belum mumaiyyiz diserah kepada ibunya. Persoalan yang
timbul ialah apakah had umur untuk menentukan mumaiyyiz itu? Sebenarnya Fuqaha berselisih
pendapat mengenai had umur mumaiyyiz ini. Walau bagaimanapun menurut kebiasaan, bagi
lelaki yang telah mencapai umur 7 tahun dianggap mumaiyyiz manakala perempuan pula apabila
berumur 9 tahun. Apabila pemeliharaan anak itu dimulai dari ibu maka para Fuqaha mengambil
kesimpulan bahawa kerabat dari ibu lebih berhak mengasuh daripada kerabat bapa. Jika ibu
hilang kelayakan hak jagaan anak maka anak itu diserah kepada nenek sebelah ibu hingga ke
atas (butir-buti penuh lihat lampiran 'A').
Dalam kes Rugayah lwn Bujang (1987 Jld. VI, I J.H.) Yang Arif Kadi Besar Wilayah
Persekutuan Syeikh Ghazali bin Hj. Abd. Rahman telah memutuskan hak jagaan anak yang
mumaiyyiz adalah diberi pilihan kepada anak-anak itu siapakah yang ia mahu sama ada
tinggal dengan ibu atau bapa dengan berdasarkan sebuah hadith:
"Bahawa Rasulullah saw telah menyuruh seorang anak yang sudah mumaiyyiz supaya
memilih sama ada ibu atau bapa yang dia suka tinggal".
(Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)
"Hendaklah kamu berdua membuang undi tentang anak kamu, maka berkata suami
perempuan itu, "Siapakah yang boleh menentang saya berkenaan anak saya (bererti suami
itu tidak bersetuju cara membuang undi)". Lalu Rasulullah saw menyuruh anak itu
memilih antara ibu atau bapa dengan sabdanya: "Ini bapa engkau dan ini ibu engkau,
pilihlah siapa antara kedua-duanya yang engkau suka tinggal bersama". Maka anak itu
pun memilih ibunya dengan memegang tangan ibunya itu. Lalu perempuan itu pun membawa
anaknya itu pulang bersama".
(Riwayat Abu Daud, An-Nasa'i dan Tirmizi)
Dalam hadith yang lain:
"Seorang perempuan datang menemui Rasulullah saw dan bertanya: "Ya
Rasulullah, suamiku hendak membawa anakku, pada hal anakku sudah pandai mencari air
untukku ke perigi Abu Inabah". Rasulullah menjawab: "Ini ayahmu dan ini ibumu,
peganglah tangan ibumu. Kemudian perempuan itu pergi bersama anaknya".
Ini bermakna anak-anak yang mumaiyyiz diberi pilihan sendiri untuk menentukan siapa
penjaganya sama ada ibu atau bapa. Persoalan yang timbul ialah jika anak itu berdiam diri?
Menurut kitab Fathul-Muin dalam fasal hadhanah menyatakan anak itu lebih utama diserahkan
kepada ibunya.
Berkata Ibnul-Qaiyim: "Sesungguhnya kita menyerahkan anak kepada bapa atau ibunya
adalah bertujuan untuk menjaga kemaslahatan anak. Kalau anak tinggal bersama ibunya maka
kemaslahatannya lebih terjamin. Maka anak itu diserahkan kepada ibunya meskipun anak itu
memilih bapanya kerana memang pilihan anak itu belum tepat acap kali tersalah pilih.
Selanjutnya Ibnul-Qaiyim berkata: "Aku dengar gutuku berkata: "Telah berselisih
faham dua orang ibu bapa di hadapan hakim tentang siapa yang akan memelihara anaknya.
Kemudian hakim menyuruh anak itu supaya memilih antara ibu atau bapanya. Lalu anak itu
memilih bapanya. Berkata ibunya kepada hakim:"Cubalah tuan hakim tanya kepada anak
itu apa sebabnya anak itu memilih bapanya? Lalu hakim bertanya kepada anak itu. Anak itu
menjawab: "Ibuku menghantarku ke tempat mengaji Al-Quran tiap-tiap hari dan guru-guru
acap kali memukulku. Manakala bapaku membiarkanku bermain-main bersama kawan-kawan, sebab
itu aku suka tinggal dengan bapaku". Mendengar demikian, hakim memutuskan untuk
menyerahkan anak itu kepada ibunya dengan menyatakan: "Engkau lebih berhak memelihara
anak itu".
Demikian pandangan Ibnu Qaiyim. Menurut Syed Sabiq dalam kitabnya ýFiqh As-Sunnah Juz
8 halaman 219 menyatakan: "Sesungguhnya setiap penjaga dan anak jagaan masing-masing
mempunyai hak. Akan tetapi hak anak atau kemaslahatan anak lebih penting dari hak
penjaganya".
Berdasarkan maksud Seksyen 84(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan,
dianggap belum mumaiyyiz bagi kanak-kanak lelaki ialah dari bayi hingga berumur 6 tahun.
Manakala kanak-kanak perempuan pula dari bayi hingga berumur 8 tahun. Ini bermakna
kanak-kanak lelaki yang telah mencapai umur 7 tahun dan kanak-kanak perempuan yang telah
mencapai umur 9 tahun dianggap mumaiyyiz. Walau bagaimanapun dalam Seksyen 84(2) keputusan
yang dibuat oleh anak tidak mutlak kerana Mahkamah boleh memerintahkan keputusan yang
berlawanan dengan pilihan anak.
Anak Antara Bapa Dan Ibu
Ulama Syafi'iyah berkata: Apabila anak tersebut lelaki dan ia memilih ibunya, anak itu
boleh tinggal di tempat ibunya pada malam hari, pada siangnya bapa boleh mengambilnya
untuk disekolahkan atau bekerja. Kerana tujuan mengasuh anak adalah untuk kebaikan.
Apabila si anak memilih bapanya maka anak tinggal bersama bapanya siang malam tetapi tidak
boleh dicegah apabila si anak ingin menjenguk ibunya. Mencegahnya akan menyebabkan si anak
derhaka kepada ibunya dan memutuskan hubungan dengan ibunya. Apabila si anak sakit maka
ibu lebih berhak untuk merawatnya kerana sakitnya itu menyebabkan si anak seperti anak
kecil yang memerlukan layanan, kerana itu si ibu lebih berhak mengasuhnya.
Apabila anak itu perempuan dan ia memilih salah satu antara dua orang tuanya maka ia
boleh tinggal di tempat orang tua lain, asalkan tidak terlalu lama. Kerana perceraian
antara suami isteri menyebabkan kedua-dua bekas suami isteri itu tidak sesuai untuk berada
di satu tempat. Apabila anak perempuan itu sakit maka ibunya lebih berhak merawat di
rumahnya. Apabila salah satu orang tuanya sakit sedangkan si anak tidak serumah dengannya
maka si anak tidak boleh dicegah untuk menjenguknya atau untuk hadir di tempat orang
tuanya yang meninggal dunia.
Bercerai Bersama Anak
Ibnu Qaiyim berkata: "Apabila salah seorang antara orang tuanya berpergian kerana
adanya suatu keperluan, tetapi akan kembali dan lainnya tidak berpergian maka orang yang
tidak berpergian lebih berhak mengasuhnya kerana berpergian dengan membawa anak kecil
terutama yang masih menyusu akan menyusahkan si anak. Apabila salah seorangnya berpindah
untuk menetap di tempat lain sedang tempat yang dituju atau perjalanannya mengkhuatirkan
maka orang tua yang mukim lebih berhak mengasuhnya. Apabila perjalanannya aman, ada dua
pendapat:
Bahawa asuhan anak itu diserahkan kepada bapa agar bapa dapat tetap mendidik anaknya.
Pendapat ini adalah juga pendapat Malik dan Syafi'i. Pendapat ini juga dipraktikkan oleh
Qadhi Syuraih.
Bahawa ibunya lebih berhak mengasuh anaknya. Pendapat lain mengatakan bahawa apabila
yang pergi itu bapanya maka ibu lebih berhak mengasuhnya. Kalau ibunya pergi ke daerah
asalnya maka ibu itulah yang lebih berhak mengasuhnya. Apabila si ibu pergi ke tempat lain
maka bapanyalah yang lebih berhak mengasuhnya. Demikianlah pendapat Abu Hanifah.
Pada prinsipnya kita meninjau dan meneliti mana yang paling baik untuk si anak dan
lebih bermanfaat, apakah dapat memelihara dan dapat menjaga si anak. Anak itu pergi
bersama salah seorang antara kedua-dua orang tuanya ataupun tidak ikut, sama sahaja,
asalkan tidak menyebabkan putusnya hubungan anak dengan orang tuanya. Apabila ada
maksudnya menyusahkan si anak maka si anak tidak boleh diajak pergi.
Anak Diluar Nikah
Kadangkala juga timbul masalah sepasang suami isteri yang pada asalnya mereka
bersekedudukan dan melahirkan anak. Selepas itu mereka kahwin. Apabila berlaku perceraian,
anak itu menjadi bahan rebutan. Persoalan yang timbul ialah siapakah yang berhak menjaga
anak yang tak sah taraf itu? Menurut Seksyen 85 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah
Persekutuan menyatakan:
"Penjagaan kanak-kanak tak sah taraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara
ibu".
Ibu itu yang mengandung dan melahirkannya maka ia berhak menjaga dan menafkahkannya.
Anak di luar nikah dianggap tidak mempunyai bapa. Oleh itu di luar bidang kuasa lelaki itu
untuk membuat tuntutan.
iv. Tuntuan Nafkah Anak
Dalam Islam hak mendapat kehidupan bagi si anak merupakan hak anak yang tidak boleh
diganggu dan disekat. Hak hidup itu juga bererti menjadi kewajiban orang tua memelihara
dan memberi bekal ilmu kepada anak sehingga anak itu boleh berdikari. Firman Allah swt:
"Kalau mereka itu (bekas isterimu) menyusukan anakmu maka berilah upah
mereka".
(Surah At-Talak : 6)
Dalam ayat yang lain Allah swt menerangkan:
"Janganlah seseorang itu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan seorang bapa
kerana anaknya dan waris pun berkewajiban demikian".
(Surah Al-Baqarah : 233)
Dari sebuah hadith yang diterangkan oleh Aisyah r.a. bahawa Rasulullah saw bersabda:
"Hindun pernah bertanya: "Ya Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufian (suami
Hindun) seorang lelaki yang sangat bakhil. Ia tidak pernah memberi belanja kepadaku yang
dapat mencukupi diriku dan anakku kecuali apa yang aku ambil dari hartanya itu, sedangkan
ia tidak mengetahuinya". Kemudian Rasulullah saw menjawab: "Ambillah apa yang
sekiranya boleh mencukupi dirimu dan anakmu dengan cara yang makruf".
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan dalil-dalil di atas ternyata seseorang bapa wajib memberi nafkah untuk
anak-anaknya dengan syarat:
Bahawa anak itu belum boleh berdikari. Bagi anak perempuan sehingga ia berkahwin atau
sehinga ia ada pekerjaan.
Bahawa anak itu miskin tidak mempunyai harta sendiri untuk menafkahkannya.
Bapa itu mampu memberi nafkah.
Apabila anak itu telah baligh dan boleh berdikari maka bapa tidak wajib lagi memberi
nafkah untuk anak itu. Begitu juga jika anak itu mempunyai harta sendiri meskipun dia
masih kecil maka bapa tidak wajib memberi nafkah kepada anaknya. Pendapat itu adalah
sepakat Fuqaha.
Kadangkala terdapat sepasang suami isteri mengambil anak angkat. Persoalan yang timbul
ialah kedudukan nafkah anak angkat jika ibu bapa angkat itu bercerai. Yang Arif Pemangku
Kadi Besar Wilayah Persekutuan Haji Yahya bin Darus (pada masa itu) ketika memutuskan kes
Rokiah lwn Mohamed Idris (1986, Jld. VI, 2 J.H.) menyatakan anak angkat tidak berhak
mendapat nafkah dengan alasan firman Allah swt:
"Panggillah nama-nama mereka, anak-anak angkat itu dengan panggilan bapa-bapa
mereka itu adalah lebih baik di sisi Allah".
(Surah Al-Ahzab : 5)
Dengan bertukar binnya itu bererti tidak tertanggunglah ke atas bapa angkat nafkah itu.
Walau bagaimanpun dalam kes Rosnah lwn Ibrahim (1979, Jld. 1, 2 J.H.) Yang Arif Kadi Besar
Pulau Pinang Hj. Harussani bin Hj Zakaria (pada masa itu) ketika memutuskan kes itu
menyatakan anak angkat berhak mendapat nafkah daripada bapa angkatnya selepas perceraian
ibu bapa angkat itu kerana anak angkat itu diambil dengan persetujuan ibu bapa angkat itu.
Anak angkat itu diambil ketika berumur satu hari.
v. Tuntutan Harta Sepencarian
Tuntutan harta sepencarian adalah lebih berdasarkan kepada undang-undang adat Melayu.
Oleh kerana prinsip harta sepencarian tidak berlawanan dengan kehendak Syariah Islam maka
peruntukan harta sepencarian diterima sebagai sebahagaian daripda Undang-Undang Islam di
Malaysia.
Dalam Al-Quran ada menyebut:
"Orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula
ada bahagian dari apa yang mereka usahakan".
(Surah An-Nisaa' : 32)
Dalam ayat ini dapat kita fahami bahawa hak wanita dalam harta benda itu bergantung
dari apa yang diusahakan.
Menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, harta sepencarian
ditakrifkan sebagai:
"Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa
mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak'.
Menurut Kadi Besar Pulau Pinang Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (pada masa itu) ketika
memutuskan kes Piah bt. Said lwn Che Lah bin Awang (1983, Jld. 2 J.H.) harta sepencarian
ditakrifkan:
"Harta yang diperolehi bersama-sama suami isteri itu hidup bersama dan berusaha,
sama ada keuda-dua pasanagan itu sama-sama bekerja dalam bidanag yang sama atau dalam
bidang yang berlainan dan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi sama ada dibahagikan
tugas atau tidak".
Satu contoh kes di mana sepasang suami isteri memperolehi harta semasa berkahwin
kemudian mereka bercerai. Persoalan yang timbul ialah bagaimana prinsip harta itu
dibahagikan. Menurut Yang Arif Datok wan Ismail bin Mohammad Salleh ketika memberi
keputusan Lembaga Rayuan Wilayah Persekutuan kes Anita binti Abdullah lwqn Zainuddin bin
Hj. Ariffin (1982, 4, JH 73) menyatakan:
Jika ada keterangan yang cukup siapa yang mengusahakan harta itu maka hasil itu
terpulang kepadanya;
Jika tidak ada keterangan yang cukup di atas usaha masing-masing, mereka dikehendaki
bersumpah. Apabila bersumpah semuanya, maka harta itu dibahagikan sama banyak juga. Jika
semuanya enggan bersumpah dibahagikan sama banyak juga. Jika salah seorang enggan
bersumpah, maka harta itu terpulang semua kepada yang bersumpah. Jika salah seorang atau
semuanya telah mati maka hukum bersumpah itu dipertanggungjawabkan ke atas waris si mati
sekiranya waris itu menuntut.
Jika berlaku adat kebiasaaan bahawa salah seorang daripada suami isteri itu berusaha
lebih dari yang lain, maka persetujuan pembahagian hendaklah mengikut adat kebiasaan itu.
Jika persetujuan tidak didapati maka pembahagiannya adalah seperti (a) dan (b) di atas.
Menurut Ahmad Ibrahim ketika memberi keputusan Lembaga Rayuan Wilayah Persekutuan bagi
kes Mansjur lwn Kamariah (1988, Jld. VI, 2 J.J.) tentang harta sepencarian menyatakan:
"Apabila timbul pertikaian mengenai kadar pembahagian harta seperncarian, jika
tidak terdapat persetujuan, keputusan diserahkan kepada hakim yang menggunakan
budibicaranya". Ini bermakna hakim akan membuat keputusan sendiri berdasarkan budi
bicaranya".
Persoalan yang timbul ialah bagaimana kedudukan seseorang isteri yang hanya bertugas
sebagai suri rumahtangga sepenuh masa, adakah ia berpeluang menuntut harta sepencarian?
Dalam kes Boto' binti Taha lwn Jaafar bin Muhammad (1984, 1 J.H.) telah diputuskan bahawa
seorang isteri yang hanya bertugas menolong suami berhak mendapat harta sepencarian. Fakta
kesnya adalah seperti berikut:
Pihak menuntut (isteri) telah menuntut harta sepencarian dari bekas suaminya separuh
dari harta yang diperolehi semasa dalam perkahwinan. Harta-harta itu termasuk tanah,
rumah, perahu, jala ikan dan warung ikan (gerai tempat menjual ikan). Apabila ia (isteri)
berkahwin dengan pihak yang kena tuntut (suami) pihak yang menuntut telah meninggalkan
kerjayanya sebagai pembantu kedai di sebuah restoren dan bertugas sebagai suri rumah di
samping membantu tugas-tugas suami. Yang Arif Hakim Saleh Abas (ketika itu) ketika
memutuskan kes itu menyatakan:
"Pihak menuntut (isteri) menemani pihak kena tuntut boleh dikira sebagai usahanya
bersama atau sumbangannya memperolehi pendapatan yang mana telah menghasilkan harta itu.
Memang betul bahawa pihak menuntut (isteri) tidak mengambil bahagian langsung dalam
perniagaan ikan dengan pihak kena tuntut (suami) akan tetapi kesediaannya berdampingan
dengan pihak kena tuntut adalah menghasilkan ketenangan fikiran yang membolehkannya
berniaga dengan berkesan. Oleh tu adalah kenyataan perkahwinan mereka dan apa yang mereka
berbuat semasa perkahwinan yang menjadikan harta itu sebagai harta sepencarian".
Menurut Kadi Besar Pulau Pinang, Yang Arif Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (pada masa
itu) ketika memutuskan kes Nor Bee lwn Ahmad Shanusi (1978, Jld. 1, 2 J.H.) mengenai harta
sepencarian:
"Harta sepencarian diluluskan oleh Syarak atas dasar khidmat dan perkongsian
hidup. Isteri mengurus dan mengawal rumahtangga ketika suami keluar mencari nafkah. Isteri
menurut Syarak berhak mendapat orang gaji dalam menguruskan rumahtangga. Jika tiada orang
gaji maka kerja memasak, membasuh dan mengurus rumah hendaklah dianggap sebagai sebahagian
dari kerja yang mengurangkan tanggungan suami".
Ini bermakna seseorang suri rumahtangga berhak menuntut harta sepencarian dari
suaminya.
vi. Tunggakan Hutang
Selain daripada itu, seseorang isteri boleh membuat tuntutan hutang ke atas bekas
suaminya jika didapati bekas suaminya tidak membayar mas kahwin, tidak memberi saraan
hidup ketika dalam tempoh perkahwinan, tunggakan nafkah anak dan sebagainya.
Prosedur Membuat Tuntutan Hutang
Untuk memudahkan mendapat hak-hak tersebut adalah lebih baik menggunakan peguam. Bagi
mereka yang tidak mampu menggunakan khidmat peguam, bolehlah membuat permohonan kepada
Biro Bantuan Guaman. Semua permohonan itu dibuat kepada Pendaftar Mahkamah Syariah.
Kesimpulan
Sebenarnya cara yang paling baik untuk menyelesaikan hak-hak itu ialah secara
perundingan antara suami dan isteri. Penyelesaian secara rundingan ini menjimatkan masa,
tidak menyusahkan anak-anak dan dapat menjimatkan wang. Jika tidak ada pilihan lain
barulah dibawa ke Mahkamah Syariah.
Apa yang penting ialah hak-hak itu hendaklah dituntut, jika mempunyai alasan yang
cukup. Terdapat kes-kes di mana sebaik sahaja berlaku perceraian si isteri menunjukkan
sikap ego dan sombongnya terhadap suami. Apabila perceraian berlaku begitu lama barulah
menyesal dan mulai bertungkus lumus untuk membuat tuntutan.
Islam adalah agama yang adil dan memberi hak pembelaan yang cukup kepada kaum wanita.
Oleh itu tidak timbul soal Islam menindas kaum wanita. Apa yang ada ialah wanita Islam itu
sendiri bersikap lemah kerana tidak menggunakan kesempatan yang luas itu untuk
kepentngannya.
Lampiran 'A'
Jika ibu hilang kelayakan maka hak jagaan anak itu berpindah mengikut tertib seperti
berikut:
Nenek sebelah ibu hingga ke atas peringkatnya;
Bapa;
Nenek sebelah bapa hingga ke atas peringkatnya;
Kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
Kakak atau adik perempuan seibu;
Kakak atau adik perempuan sebapa;
Anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
Anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu;
Anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa;
Ibu saudara sebelah ibu;
Ibu saudara sebelah bapa;
Waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai 'asabah atau residuari.